BLOGGER TEMPLATES AND Google Homepages »

Nak Beli SUSU Anak, Klik Sini

Kotak CB

Hujan Di Jerteh - Kg La

Rugi besar setiap tahun

KAMPUNG LA – Kebanyakan penduduk kampung ini yang tinggal di tepi jalan utama di sini mengalami kerugian besar setiap tahun akibat kerosakan harta benda, termasuk dalam kejadian banjir Jumaat lalu.

Mangsa terdiri daripada penduduk kampung yang tinggal di kawasan rendah di tepi jalan yang menjadi kawasan laluan arus deras, kesan limpahan air Sungai Besut yang berada tidak jauh daripada penempatan mereka.

Selain dua buah rumah yang dihanyutkan arus deras di sini pada Jumaat lalu, ramai lagi penduduk menerima kesan akibat bencana alam itu.

Peniaga kedai runcit, Mat Yasin Mat Jusoh, 59, berkata, dia mengalami kerugian kira-kira RM10,000 apabila sebahagian daripada barang jualan di kedainya rosak dalam kejadian itu.:

Menurutnya, dia hanya sempat menyelamatkan sebahagian barang miliknya, manakala selebihnya rosak termasuk ada yang dihanyutkan arus deras kerana air naik terlalu pantas, dan mencapai paras kedalaman dua meter dalam masa beberapa jam sahaja.

“Air banjir naik terlalu cepat menyebabkan saya sekeluarga tidak sempat mengemas barang dan terpaksa berpindah ke pusat pemindahan banjir di Masjid Kampung La, kira-kira 500 meter dari rumah kedai saya,” katanya.

Menurutnya, begitulah keadaan yang terpaksa dialaminya dan penduduk kawasan itu setiap tahun.

Masalah sama dialami seorang lagi peniaga kedai makan di situ, Mohd Apmili Ali Seman, 59, yang turut mengalami kerugian apabila ada peralatan rumah dan kedainya rosak.

“Selain barang rosak, kami juga perlu membersihkan lumpur kerana arus deras turut membawa bersama lumpur dari sungai,” katanya.

Bagaimanapun, mereka bersyukur kerana hanya mengalami kerosakan harta benda tetapi nyawa mereka dan penduduk kampung selamat.

Sementara itu, ada penduduk menyarankan kerajaan menyediakan tanah di kawasan tinggi kepada penduduk kampung yang tidak mempunyai tanah, manakala penghuni yang mempunyai tanah di kawasan lain boleh diberi rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) atau Rumah Mesra Rakyat (RMR).

Masalah yang berlanjutan ini bukan sahaja menyusahkan rakyat, tetapi turut membebankan kerajaan kerana ia tidak akan selesai sampai bila-bila selagi penduduk tidak berpindah ke tempat lebih tinggi.

Gomorianz @ BUIHRIANZ

Blok Paling Best

GENG GOMO

Banner

Banner Gift From MIALIANA.COM