Air France 447 pecah di udara
PASUKAN tentera laut Brazil menarik serpihan pesawat Air France 447 yang ditemui di Lautan Atlantik kelmarin.
- Foto AP
Pasukan mencari dan menyelamat temui 12 lagi mayat penumpang RECIFE: Pasukan mencari dan menyelamat menemui penstabil menegak daripada bahagian ekor pesawat Air France yang terjunam ke Lautan Atlantik seminggu lalu, kata tentera udara Brazil kelmarin – penemuan utama yang mungkin membantu mengesan kotak hitam dan mengetahui punca mengapa pesawat itu terhempas.
Lapan lagi mayat ditemui semalam, menjadikan jumlah yang ditemui 24 mayat sejak Penerbangan 447 Air France hilang dengan 228 orang di dalamnya, menurut Kolonel tentera udara, Henry Munhoz.
Penemuan serpihan dan mayat semuanya membantu penyelamat mengecilkan kawasan pencarian kotak hitam pesawat, mungkin harapan terbaik penyiasat mengetahui apa yang berlaku kepada pesawat malang itu. Perakam data dan suara terletak dalam badan pesawat berhampiran bahagian ekor.
William Waldock, yang mengajar siasatan kemalangan udara di Universiti Aeronautikal Embry-Riddle di Presscott, Arizona, berkata perkembangan itu tidak bermakna kotak hitam ditemui berhampiran di mana serpihan itu dijumpai, "namun penemuan bahagian ekor mengecilkan kawasan pencarian." Pegawai tentera Brazil enggan memberi perincian bahagian terbesar pesawat yang mereka jumpa. Namun laman web tentera udara Brazil bertajuk "Penemuan Penstabil Menegak" menunjukkan video bahagian yang memastikan muncung pesawat daripada terhuyung-hayang itu, ditemui dan diangkat ke sebuah kapal.
Bahagian jalur biru dan merah Air France masih dalam keadaan segi tiga asal dan tidak terbakar. Waldock - yang meneliti gambar dan video penstabil dan kemudi, berkata kerosakan yang dilihatnya seperti pecahan bahagian sisi. "Ia mungkin membayangkan pesawat pecah ketika berada di udara," katanya. "Jika ia menjunam dalam keadaan asal, segala-galanya akan berkecai dalam kepingan kecil." Hakikat bahawa tiada tanda kebakaran pada penstabil tidak pesawat bermakna tidak terbakar.
Apa-apa letupan atau kebakaran pada badan pesawat kemungkinan tidak sampai ke bahagian ekor, menurut Waldock. Penyiasat juga sedang menyiasat kemungkinan pemantau kelajuan dalaman digelar tiub Pitot pesawat, diselaputi ais dan memberi bacaan salah kepada komputer kokpit dalam keadaan ribut dan menyumbang kepada nahas itu. – AP




