Dulu seludup makanan, kini senjata
GASOLIN, beras, mentol, viagra malah pengantin, semuanya diseludup melalui laluan bawah tanah Semenanjung Gaza yang digali menuju ke sempadan Mesir. Terowong ada di mana-mana di bumi Gaza. Ketika Israel semakin ganas menyeksa 1.4 juta penduduk Palestin dengan pelbagai sekatan termasuk ekonomi, terowong menjadi nadi mereka untuk meneruskan kehidupan di Semenanjung Gaza. Sejak Hamas menguasai Gaza pada Jun 2006, jumlah barangan yang dibawa melalui terowong dari Mesir ke Gaza semakin bertambah. Sejarah terowong di Gaza sudah lama wujud dan kini berubah fungsi daripada dijadikan laluan menyeludup makanan kepada membawa senjata.
Ketika Intifada pertama dan sepanjang perselisihan antara Hamas dan Fatah, banyak senjata diseludup ke Gaza dari Mesir melalui terowong. Satu ketika dulu penyeludup disamakan dengan penjenayah, tetapi hari ini, desakan hidup dan sekatan ekonomi oleh Israel menjadikan hampir semua warga Palestin tidak peduli lagi dengan anggapan itu. Difahamkan ada 750 terowong digali di bawah sempadan Mesir. Jumlah itu diketahui selepas Majlis Bandar Rafah memutuskan semua pengguna terowong mesti berdaftar dan membayar cukai sebanyak RM7,400 setahun. Bertambahnya pengguna terowong menyaksikan zaman terowong Gaza yang diselubungi misteri sudah lama berlalu. Dulu, sukar mengorek rahsia mengenai kewujudan terowong di bawah bumi Gaza yang merentas hingga ke sempadan Mesir. Hari ini penduduk Rafah boleh memberitahu anda terowong yang mana membawa barangan pengguna, terowong yang mana membawa senjata. Malah, terowong mana yang selamat untuk laluan pengantin baru ke majlis akad nikahnya.
POLIS Palestin menemui beberapa terowong di sempadan Gaza dalam kempen memerangi pejuang.
Dianggarkan 90 peratus produk yang memasuki Gaza setiap bulan bernilai RM128 juta dibawa melalui terowong melalui Mesir. Jaringan bawah tanah ini juga sumber pendapatan dan senjata pergerakan Hamas dengan bayaran RM8,880 untuk setiap terowong. Bagi sesetengah penduduk, terowong bukan saja laluan untuk meneruskan kehidupan tetapi terowong itu adalah kehidupan mereka. Justeru, ada yang berhadapan dengan masalah apabila pihak berkuasa Mesir mengesan kehadiran terowong. Ada kalanya gas dilepaskan dalam terowong membunuh mereka yang menggunakannya. Yang pasti, ia gagal menakutkan warga Palestin. Malah, menggali terowong adalah satu pekerjaan yang upahnya mencecah RM480 sehari. Namun bagi seorang penggali yang hanya dikenali sebagai Muhamad, 21, berkata angka itu hanya teori, ada kalanya pemilik terowong tidak membayarnya.
“Dalam hal ini pemenangnya adalah pemilik terowong,” katanya yang pernah menyaksikan dua rakannya terbunuh di hadapan mata selepas gas dilepaskan dalam terowong manakala seorang lagi melecur teruk. Insiden itu adalah antara usaha Mesir menamatkan aktiviti penyeludupan. Namun, usaha itu tidak berjaya. Israel walaupun tahu mengenai kewujudan terowong, tidak pernah mempedulikannya. “Kerja saya berhadapan dengan risiko kematian,” kata Muhamad. Muhamad seperti kebanyakan warga Palestin lain tidak ada banyak pilihan untuk terus hidup. Sebelum sekatan ekonomi oleh Israel, keluarga Muhamad memiliki perniagaan jahitan. Namun, perniagaan itu terhenti kerana tiada bekalan kain. Justeru, pekerjaan yang tinggal hanyalah menjadi penggali terowong.
Sumber: SpiegelOnline International/Reuters/AFP/Gulfnews




